Thursday, July 12, 2012

TOKOH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

MODEL MONTESSORI  (1870-1952)
Model Montessori dipelopori oleh Maria Montessori. Beliau dilahirkan di Chiaravalle, Itali pada tahun 1870. Pada tahun 1896, beliau telah menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan sekali gus telah menjadikan beliau seorang doktor wanita pertama di Itali. Maria Montessori terkenal kerana penglibatan beliau dalam pendidikan kanak-kanak. Beliau juga dicalonkan untuk anugerah “Nobel Peace Prize” sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1949, 1950 dan 1951. Walaupun beliau sudah meninggal dunia, perjuangannya masih diteruskan lagi melalui “Association Montessori Internationale (AMI)” di Amsterdam, Netherlands sehingga kini. Maria Montessori amat mementingkan perkembangan kanak- kanak diperingkat awal lagi.
Menurut Montessori, kanak- kanak akan menunjukkan minat kepada sesuatu aktiviti pembelajaran apabila mereka cukup matang dan bersedia mempelajarinya. Montessori telah mengemukakan beberapa konsep asas dalam pembentukan kurikulum kanak- kanak pada peringkat awal. 
3.1  Penggunaan sensori-deria
Menurut Montessori, minda kanak- kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka bersedia untuk diajarkan konsep tersebut. Pernyataan Montessori ini telah disokong oleh Pensyarah Psikologi  Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,  Mastura Badriz (2002) dalam Zul Azri (2009), iaitu beliau melihat pendidikan sebagai satu proses yang berkembang serentak dengan perkembangan seorang kanak-kanak yang belajar melalui persekitaran dan mengaplikasikannya dalam konteks kehidupan sehariannya sebagai persediaan untuk kehidupan dimasa hadapan.
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya merupakan satu pendidikan tidak formal kepadanya.

3.2  Penerokaan kepada persekitaran
Montessori dalam pendapat beliau turut menyatakan bahawa persekitaran yang menggalakkan perkembangan kanak- kanak adalah persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong pembentukkan konsep dan pengetahuan kanak- kanak apabila mereka memerlukannya. Di samping itu, dalam ertikata lain pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah merangkumi segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang telah disediakan oleh orang dewasa, aktiviti yang difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri dan juga bahasa atau teknik komunikasi yang diamalkan oleh mereka dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, pendidikan juga boleh menjadi sesuatu yang tersembunyi dan tidak dirancang di mana kanak-kanak belajar tanpa disedari.
Pendapat Montessori ini sekali lagi disokong oleh Mastura Badriz (2002) dalam Zul Azri (2009), iaitu beliau berpendapat, masa atau perhatian yang diberikan terhadap sesuatu aktiviti oleh penjaga kanak- kanak, mungkin akan  menyebabkan kanak- kanak tersebut merasakan perkara itu adalah lebih  berfaedah walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

3.3  Belajar melalui aktiviti bermain
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain adalah satu keperluan. Melalui bermain kanak-kanak dapat belajar pelbagai perkara dan keadaan ini dikenali sebagai pembelajaran tidak formal. Menurut pendapat Montessori, apabila seseorang kanak- kanak itu bermain, secara tidak langsung mereka dapat belajar dan mengalami sesuatu pengalaman yang baru apabila melalui proses pembelajaran yang menarik dan bermakna. Keadaan ini membuktikan bahawa bermain merupakan satu proses belajar secara semula jadi dan juga spontan. Melalui aktiviti bermain, secara tidak langsung ibu bapa turut membenarkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang kreatif.
Ummu Abdullah (2009), turut menyatakan pandapat yang hampir sama dengan pendapat Montessori iaitu menurut beliau, setiap kanak- kanak yang membina pengalaman baru dan berinteraksi dengan persekitaran mereka akan membina beberapa sambungan pada otak kanak- kanak tersebut. Pernyataan ini menunjukkan bahawa melalui aktiviti bermain, otak kanak- kanak akan turut berkembang dan secara tidak langsung turut melatih kanak- kanak tersebut untuk menjadi lebih kreatif.

3.4  Tempoh sensitif
Montessori menyatakan bahawa kanak- kanak yang berusia enam tahun dan ke bawah mempunyai minda yang mudah menyerap jika dibandingkan dengan kanak- kanak yang berumur enam tahun dan ke atas. Tempoh masa ini dikenali sebagai tempoh masa sensitif, iaitu merupakan tempoh masa yang sangat sesuai untuk mereka belajar dan memahaminya. Pada tahap ini, kanak- kanak perlu dipupuk minat untuk belajar dan pembelajaran ini akan berjaya jika mereka dibimbing untuk meneroka kepada bahan dan juga persekitaran yang tepat. Tempoh sensitif adalah tempoh yang paling sesuai untuk kanak- kanak menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat dikesan apabila kanak- kanak menunjukkan kesediaan dan minat bagi mempelajari sesuatu kemahiran dengan sentiasa menanya soalan dan sentiasa tertarik bagi memerhati dan menyentuh sesuatu bahan pengajaran.
Selain daripada itu, Montessori (1870- 1952) dalam Azizah Lebai Nordin (2002), turut menyatakan bahawa beliau percaya dalam tempoh masa sensitif, kanak- kanak cepat mempelajari beberapa tingkahlaku dengan lebih berkesan berbanding dengan tempoh masa biasa. Ahli pendidik awal kanak- kanak menamakan masa sensitif ini sebagai kesediaan (readiness). Selain daripada model- model kurikulum Maria Montessori yang telah dibincangkan, terdapat juga teori yang dikemukakan oleh Maria Montessori iaitu teori interaksi.

3.5       TEORI INTERAKSI
Menurut Montessori, pengalaman belajar yang tidak formal dapat dihasilkan bukan sahaja dari interaksi dengan guru tetapi juga dengan sesama rakannya. Interaksi antara rakan sebaya ini juga dapat menghasilkan teladan moral dan sosial kepada diri kanak- kanak tersebut. Selain itu, teori interaksi ini juga dapat membantu pertukaran informasi sehingga menjadi sumber yang penting bagi pembelajaran tidak formal kanak- kanak.
 Jean Piaget (1896-1980) dalam Nuriman (2009), turut mempunyai pendapat yang hampir sama dengan Montessori iaitu bagi beliau, kanak- kanak belajar melalui interaksi dengan orang lain atau pun masyarakat. Semakin ramai orang yang kanak- kanak tersebut berinteraksi, semakin banyak ilmu yang akan dipelajarinya.

No comments:

Post a Comment