Thursday, June 5, 2014

Matematik Prasekolah

Konsep Awal Matematik

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dibangunkan dengan
matlamat untuk memperkembang dan menyuburkan potensi kanak-kanak yang secara
menyeluruh dan seimbang meliputi segenap aspek perkembangan sama ada fizikal,
emosi, rohani, intelek dan sosial. Proses ini berupaya dicapai melalui persekitaran
pembelajaran yang kondusif, selamat dan ceria serta disokong oleh pelaksanaan aktiviti
yang kreatif, menyeronokkan dan bermakna. Dalam konteks ini, peluang yang sama rata
akan diberikan kepada semua kanak-kanak untuk memperkembangkan potensi diri
melalui penglibatan aktif dalam aktiviti yang dirancangkan.
Prinsip utama yang diguna pakai dalam KSPK adalah berdasarkan kepada
pendekatan dan kandungan pembelajaran yang relevan dengan peringkat perkembangan
kanak-kanak serta turut mengambil kira perbezaan potensi antara individu. Adalah
diharapkan melalui pelaksaaan KSPK akan memberi kesempatan kepada kanak-kanak
memperoleh konsep dan kemahiran asas secara holistik yang berupaya menjana asas
yang kukuh dalam proses kesinambungan pembelajaran di sekolah rendah kelak.
Awal Matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada kanak-kanak
berumur 4 hingga 6 tahun. Pengalaman matematik awal adalah penting kerana ia
merupakan asas untuk membantu murid menjalani kehidupan seharian dengan lebih
sistematik dan memudahkan murid memahami konsep matematik yang lebih tinggi.
Pengalaman yang diberikan adalah merangkumi pengetahuan tentang konsep pra nombor,
nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang.
Guru hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara tersusun bagi
mencapai standard pembelajaran yang dihasratkan dan memastikan pengalaman
pembelajaran yang bermakna, menggembirakan, berkesan serta memberi motivasi kepada
murid untuk belajar.

 Konsep Pra Nombor 
Kemahiran pranombor merupakan kemahiran yang paling awal yang perlu
diperkenalkan kepada kanak- kanak sebelum memperkenalkan murid dengan konsep
nombor. Pendedahan awal konsep pra nombor pada seawal usia kanak-kanak adalah
penting bagi membina sikap positif terhadap Matematik. Pendekatan yang dirancang rapi
sesuai untuk membantu kanak-kanak untuk membina kemahiran numerasi. Kanak- kanak
memerlukan banyak pengalaman “hands-on” dan “menyebut” sebelum kemahiran
menulis nombor. Seawal umur 2 tahun, kanak-kanak telah mula mengajuk patah-patah
kata yang didengar di sekelilingnya. Contohnya “satu”, “dua”, “tiga” dan seterusnya.
Konsep pranombor dalam pendidikan prasekolah terbahagi kepada beberapa bahagian
iaitu :-
i. Pengelasan
ii. Perbandingan
iii. Seriasi
iv. Padanan satu dengan satu
v. Pola
vi. Keabadian

Pengelasan 
Pengelasan merupakan pengumpulan objek konkrit dan semi konkrit berdasarkan
ciri-ciri yang jelas. Tujuannya untuk memastikan murid dapat membezakan dan
mengumpul objek berdasarkan kesamaan dan perbezaan. Klasifikasi objek tersebut boleh
dilakukan berdasarkan kepada :-
a) Satu ciri ( contohnya : warna, saiz, bentuk)
b) Dua ciri ( contohnya : warna dan bentuk, warna dan saiz )
c) Tiga ciri ( contohnya : warna, bentuk dan saiz )
d) Negatif ( contohnya : objek yang tidak terdapat dalam kumpulan tertentu )
Aktiviti pengelasan adalah proses yang penting bagi membentuk konsep nombor. Oleh
itu, prses pengelasan perlu melalui beberapa tahap iaitu :-
a) Memilih dan membanding
b) Mengumpul
c) Memilih semula
d) Mengasingkan kumpulan
e) Memilih objek berdasarkan fungsi, kegunaan atau konsep
 Perbandingan
 Proses mengaitkan antara dua benda menggunakan ciri tertentu sebagai asas
perbandingan (Gibbs dan Castadena, 1975). Perbandingan berlaku apabila kita
membandingkan ciri- ciri kuantitatif dan kualitatif dua objek. Tujuannya adalah untuk
memastikan murid- murid menguasai konsep yang selalu digunakan dalam perbandingan
seperti banyak, lebih kurang dan lebih tinggi. Contoh perbandingan digunakan ialah :-
Ukuran ( Panjang : Pendek , Tinggi : Rendah , Tebal : Nipis )
Saiz ( Besar : Kecil )
Berat ( Berat : Ringan )
Bilangan ( Banyak : Sedikit )

Seriasi 
Seriasi merupakan susunan lebih daripada dua objek mengikut turutan
berdasarkan kriteria yang jelas. Tujuannya adalah untuk membolehkan murid mencari
pertalian antara satu objek dengan objek yang lain atau antara konsep matematik yang
lain. Kebolehan menyusun dan menertib adalah mengikut perkembangan konservasi dan
pengelasan. Ini menjadikan proses pembelajaran yang mereka lalui akan lebih bermakna.
Contoh seriasi yang biasa dilakukan adalah seperti berikut:
i) Menyusun mengikut pola urutan
Kecil  Besar , Nipis  Tebal , Rendah  Tinggi
 Pendek  Panjang , Sempit  Luas
ii) Menyusun objek mengikut cirri bentuk, saiz, warna dan sebagainya.

 Padanan Satu Dengan Satu
 Padanan satu dengan satu adalah hubungan perkaitan satu dengan satu antara
objek yang sama atau berbeza. Proses memadan bermula daripada :
i) konsep memadan objek dengan objek mengikut warna, saiz, bentuk,
bilangan, pasangan dan sebagainya.
ii) konsep objek dengan nombor.
iii) konsep nombor dengan nombor.
Contoh padanan satu dengan satu adalah seperti berikut:
a. Memadan benda yang berpasangan yang sama (kasut)
b. Memadan benda yang berpasangan tetapi tidak sama (sudu dan garpu)
c. Memadan bilangan yang sama
d. Memadan bilangan objek dengan simbol nombor

Pola
 Salah satu aspek dalam Matematik adalah mengkaji pola. Contohnya dalam
kehidupan seharian kita, ada waktu siang dan ada waktu malam. Terdapat empat cara
bagaimana konsep pola boleh dikembangkan dalam diri murid:
a) Meniru pola
b) Menyambung pola
c) Melengkapkan pola
d) Membina pola sendiri

Keabadian 
Ketekalan (consistency) merupakan satu aspek yang boleh dikaitkan dengan jisim,
isipadu dan keluasan. Tujuan konsep keabadian diperkenalkan adalah untuk memastikan
murid- murid memahami ketekalan jisim dan isipadu walaupun diletakkan, disusun atau
diatur di tempat atau keadaan yang berbeza.